Tumpuan :
Dunia

6 bayi maut akibat cuaca sejuk melampau di Gaza

FOTO: Reuters

GAZA: Enam bayi, maut akibat cuaca sejuk melampau di Gaza selepas terpaksa berlindung dalam keadaan serba kekurangan di khemah sementara, di tengah-tengah serangan Israel yang berterusan, menurut seorang pegawai tempatan kepada Agensi Anadolu (AA).

“Enam bayi dan seorang jururawat kehilangan nyawa akibat gelombang sejuk dalam beberapa hari lepas,” kata Ismail Thawabteh, yang mengetuai pejabat media kerajaan Gaza, pada Isnin.

Beliau memberi amaran bahawa angka kematian mungkin meningkat disebabkan keadaan tragis semasa di enklaf itu  akibat serangan Israel tanpa henti.

“Nyawa penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berada dalam bahaya nyata di tengah-tengah hujan lebat dan gelombang sejuk kerana khemah mereka sudah usang dan tidak mampu memberikan perlindungan,” tambah Thawabteh.

Semenanjung Gaza dilanda gelombang sejuk dan hujan lebat sejak Ahad, meningkatkan penderitaan kepada 2.3 juta penduduk wilayah itu.

Ramai yang kehilangan tempat tinggal kini hidup dalam khemah sementara dalam keadaan hidup yang semakin melarat. Keluarga kekurangan keperluan asas seperti pakaian, selimut dan tempat tidur, menyebabkan ramai bayi terdedah kepada cuaca sejuk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa sembilan daripada 10 penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel yang berterusan.

Thawabteh menuduh Amerika Syarikat, Israel dan penyokong mereka bertanggungjawab terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin teruk di wilayah Palestin itu.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa dan kumpulan bantuan untuk segera campur tangan bagi memberi tekanan kepada Israel “supaya menghentikan perang genosidnya ke atas Gaza dan menyelamatkan nyawa orang awam.”

Israel membunuh lebih 45,500 orang di Gaza sejak 7 Okt 2023, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera.

Tel Aviv turut mengenakan sekatan ketat terhadap Gaza, menyebabkan seluruh penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang terhadap wilayah itu.

— BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini