Tumpuan :
Dunia

6 kanak-kanak maut akibat keracunan makanan, Presiden Afrika Selatan seru tindakan tegas

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa. – FOTO: Reuters

PRETORIA: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menyuarakan rasa kecewa rakyat terhadap kematian enam kanak-kanak akibat keracunan makanan di Soweto bulan lalu.

Dalam ucapan khasNYA pada Jumaat, beliau menyeru tindakan segera untuk mencegah tragedi seumpama itu daripada berulang.

“Kita perlu bersatu sebagai sebuah negara dan memastikan insiden seperti ini tidak berlaku lagi,” kata Ramaphosa.

Menurut laporan forensik, kematian enam kanak-kanak itu disebabkan bahan kimia berbahaya, Terbufos, yang sering digunakan sebagai racun perosak jalanan untuk mengawal tikus.

Ujian saintifik oleh Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan turut mengesahkan kaitan bahan kimia itu dengan kematian mereka.

Media tempatan me;aporkan, sebahagian kanak-kanak yang terjejas membeli makanan ringan tercemar dari kedai-kedai kecil tidak berlesen, dikenali sebagai spaza shops. Daripada 84 kedai yang diperiksa di Naledi, Soweto, tiga daripadanya disahkan mempunyai jejak bahan kimia tersebut.

Pada masa sama, kejadian itu mencetuskan desakan untuk pengawalan lebih ketat terhadap keselamatan makanan dan pengawalseliaan sektor peruncitan tidak formal di Afrika Selatan.

Ramaphosa menganggap isu ini sebagai ancaman keselamatan negara, dengan pelbagai agensi termasuk polis, pegawai kesihatan, dan suruhanjaya pengguna dilibatkan untuk menangani krisis berkenaan.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Aaron Motsoaledi, menegaskan bahaya organofosfat seperti Terbufos, yang boleh memberi kesan tidak boleh dipulihkan kepada manusia, terutama kanak-kanak yang lebih terdedah kepada toksisiti akibat saiz tubuh kecil dan organ yang masih berkembang.

Kerajaan juga memberi amaran kepada peniaga agar tidak menghasilkan makanan untuk dijual tanpa kebenaran sah.

Langkah itu, ujar Ramaphosa adalah penting untuk mencegah insiden serupa daripada berulang dan melindungi keselamatan pengguna.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini