comscore
Tumpuan :
Dunia

6 maut, Rwanda berdepan wabak Marburg

FOTO: Reuters

KIGALI: Rwanda mengesahkan enam kematian akibat penyakit virus Marburg (MVD), ketika wabak berkenaan menjangkiti 26 orang di seluruh negara itu, lapor Xinhua.

Menteri Kesihatan Rwanda, Sabin Nsanzimana dalam siaran televisyen tempatan pada Sabtu malam mendedahkan bahawa mangsa dan kebanyakan yang dijangkiti adalah pekerja kesihatan.

Beliau menekankan bahawa Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama rakan kongsi berkaitan sedang berusaha tanpa henti untuk membendung virus maut itu melalui pengesanan kontak dan pengasingan individu yang dijangkiti.

Pihak berkuasa telah melaksanakan protokol pencegahan yang lebih ketat di semua kemudahan kesihatan, termasuk pengesanan kontak yang teliti, dan pesakit yang dijangkiti telah diasingkan untuk rawatan.

Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa MVD disebarkan melalui kontak langsung dengan darah atau cecair badan individu yang dijangkiti dan bukan melalui udara.

Kementerian itu menasihatkan sesiapa yang mengalami simptom seperti demam panas, sakit kepala yang teruk, muntah, sakit otot, atau sakit perut untuk menghubungi Pusat Bioperubatan Rwanda atau mengunjungi kemudahan kesihatan terdekat.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk kekal tenang dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini