comscore
Tumpuan :
Dunia

650 pekerja unit Xbox Microsoft diberhentikan

Industri permainan menyaksikan pembuangan pekerja besar-besaran pada separuh pertama tahun ini – Foto Reuters

BENGALURU: Microsoft mengurangkan 650 pekerjaan dalam unit Xbox, pemberhentian ketiga tahun ini kerana syarikat itu cuba mengawal kos dan menyepadukan pengambilalihan Activision Blizzard yang bernilai AS$69 bilion, lapor Bloomberg News hari ini.

Industri permainan menyaksikan pembuangan pekerja besar-besaran, penutupan studio dan pembatalan projek pada separuh pertama tahun ini, dicetuskan oleh pemulihan perlahan dalam perbelanjaan pemain selepas kadar penglibatan pemain memuncak semasa wabak.

Pembuangan kerja akan menjejaskan kebanyakan fungsi korporat dan sokongan, kata laporan itu, memetik memo yang dihantar kepada kakitangan oleh Ketua Xbox, Phil Spencer.

Tiada permainan, peranti atau pengalaman yang dibatalkan dan tiada studio ditutup sebagai sebahagian daripada pelarasan ini, kata laporan itu, memetik memo berkenaan.

Microsoft dan Xbox tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan kenyataan.

Microsoft telah memuktamad urus niaga Activision Blizzard tahun lalu, yang meningkatkan kelebihannya dalam pasaran permainan video dengan permainan terlaris, termasuk ‘Call of Duty’, untuk bersaing dengan lebih baik dengan peneraju industri, Sony.

Gergasi teknologi itu pada Januari lalu berkata ia akan melepaskan 1,900 pekerja di Activision Blizzard dan Xbox.

Pada Mei, Xbox menutup beberapa studio permainan, termasuk Arkane Austin.

Firma penyelidikan Newzoo menurunkan semula ramalan pertumbuhan tahunan untuk pasaran permainan video global bulan lalu, kerana jualan konsol kurang berprestasi di tengah-tengah jadual keluaran permainan yang agak lengang tahun ini. -Reuters

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini