comscore
Tumpuan :
Dunia

66 wilayah termasuk Bangkok catat tahap udara tidak sihat

Foto: Reuters

BANGKOK: Thailand diselubungi jerebu dengan zarah tidak selamat pada PM2.5 direkodkan pada Khamis.

Keadaan berkenaan dicatatkan termasuk di Bangkok dan 66 wilayah negara itu.

Keadaan bertambah buruk dengan jumlah titik panas akibat pembakaran meningkat kepada 1,712.

Laman sesawang pemantauan udara IQAir meletakkan Bangkok antara senarai 10 bandar paling tercemar di dunia.

Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (Gistda) mengesan 546 titik panas di hutan terlindung, 506 di hutan simpanan negara, 278 di kawasan pertanian, 195 di kawasan komuniti dan lain-lain, 159 di Tanah Reformasi Pertanian dan 28 di sepanjang lebuh raya.

Wilayah Kanchanaburi merekodkan jumlah titik panas tertinggi iaitu sebanyak 328.

Di Bangkok pula, paras purata PM2.5 adalah antara 51.6 dan 82.6 ug/m3, setakat 2 petang (waktu tempatan)
.
Kerajaan menetapkan had selamat untuk PM2.5 ialah pada 37.5 ug/m3 manakala garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan 25 ug/m3.

Sementara itu, Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata pembakaran tanaman adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Justeru, beliau mengarahkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengambil pelbagai langkah termasuk larangan sementara aktiviti pembinaan selain pekerja bekerja dari rumah selama dua hari mulai pada Khamis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini