comscore
Tumpuan :
Dunia

732 Ahli Majlis Permusyawaratan Rakyat Indonesia angkat sumpah

Foto: Reuters

JAKARTA: Seramai 732 ahli Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia bagi penggal 2024-2029 secara rasmi mengangkat sumpah dalam sesi di bangunan Parlimen, Jakarta Pusat pada Selasa.

Majlis baharu ini terdiri daripada 580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 152 ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD), yang kesemuanya mengangkat sumpah dalam sesi berasingan awal hari ini.

Sesi itu dipengerusikan buat sementara oleh ahli tertua, Guntur Sasono, 78, bersama ahli termuda, Larasati Moriska, 22. Ketua Hakim Negara Muhammad Syarifuddin menyaksikan upacara angkat sumpah berkenaan.

Ahli yang baru mengangkat sumpah akan berkhidmat di Parlimen selama lima tahun akan datang, susulan pilihan raya perundangan yang diadakan serentak dengan pilihan raya Presiden dan Naib Presiden pada 14 Februari.

Dalam ucapan penutupnya, Guntur menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap kepimpinan serta ahli MPR terdahulu, mengiktiraf kejayaan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaan dalam memajukan masyarakat dan negara.

“Melangkah ke hadapan, tanggungjawab ini akan dipikul oleh kita semua. Saya berharap kita dapat melaksanakan tugas ini dengan berintegriti serta meletakkan kepentingan negara di atas segala-galanya,” katanya pada sesi yang turut dihadiri Presiden Joko Widodo, yang akan menyerahkan kuasa kepada Presiden terpilih Prabowo Subianto pada 20 Oktober.

Sidang Parlimen pada sebelah petang akan diteruskan dengan beberapa agenda penting, termasuk pemilihan speaker untuk MPR, DPR dan DPD.

MPR, sebagai badan legislatif tertinggi, bertanggungjawab untuk meminda perlembagaan serta melantik presiden dan naib presiden.

DPR berfungsi sebagai dewan rendah yang bertanggungjawab merangka undang-undang, meluluskan belanjawan dan memantau cabang eksekutif, manakala DPD mewakili wilayah dan memberi tumpuan kepada isu-isu serantau.

Dalam kalangan ahli yang baru dilantik, 25 orang artis menyertai MPR, dengan dua terpilih ke DPD dan 23 ke DPR, termasuk tokoh terkenal Melly Goeslaw dan Ahmad Dhani Prasetyo yang komited untuk meningkatkan industri muzik.

Lembaga Adat Melayu Riau turut menyatakan harapan agar ahli yang dipilih dari Riau dapat memperjuangkan kepentingan wilayah dan pemeliharaan budaya, terutama dalam mendapatkan peruntukan belanjawan yang boleh meningkatkan infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi di kawasan itu.

“Kami berharap agar wakil rakyat dapat mempromosikan dasar-dasar yang menyokong pengurusan sumber semula jadi yang mampan, khususnya dalam menangani isu kebakaran hutan dan tanah,” kata Pengerusi Majlis Kepimpinan Harian, Datuk Setia Taufik Ikram Jamil dalam satu kenyataan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini