comscore
Tumpuan :
Dunia

8 maut, pusat edar bantuan UNRWA jadi sasaran terbaharu Israel

Foto: Reuters

GAZA: Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin maut dalam serangan udara terbaharu Israel menyasarkan institut latihan yang digunakan bagi pengedaran bantuan, berhampiran bandar Gaza.

Menurut saksi, serangan memusnahkan sebahagian struktur kolej vokasional kelolaan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyediakan bantuan kepada keluarga pelarian.

Tambah saksi berkenaan, sejurus tindakan itu kereta kebal rejim Zionis meneruskan serangan ke selatan Rafah.

Sementara itu, seorang lagi saksi berkata, beberapa orang datang ke premis terbabit untuk mengambil kupon bantuan, manakala sebahagian lagi mengisi bekalan air dan ada yang berlindung sementara di situ.

Katanya, kesemua mereka bertindak melarikan diri sejurus terdengar sesuatu terjatuh di kolej latihan berkenaan, namun sudah terlambat.

Mayat dikeluarkan dari bawah runtuhan, antaranya penjual minuman sejuk dan pastri selain pengedar serta penerima kupon, yang terkorban dalam serangan kali ini.

Menafikan tindakan terbaharu itu sebagai langkah melulu, tentera Israel mendakwa, tapak yang sebelum ini berfungsi sebagai ibu pejabat UNRWA itu digunakan pejuang Hamas dan Jemaah Islamiah (JI).

Kononnya, semua langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko ke atas orang awam sebelum serangan dilancarkan.

Hamas bagaimanapun menafikan dakwaan kumpulan pejuang itu menggunakan orang awam sebagai perisai mahupun kemudahan awam bagi tujuan ketenteraan.

Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma, berkata agensi itu sedang menyiasat butiran serangan, sebelum mengemukakan sebarang maklumat lanjut.

Menurutnya, berdasarkan rekod hampir 190 bangunan milik UNRWA terkena serangan sejak perang bermula dan ini adalah sebahagian besar daripada bangunan kami di Gaza manakala 193 ahli pasukan UNRWA terbunuh dalam konflik ini.

Dalam kejadian berasingan, pengarah perkhidmatan ambulans dan kecemasan Kementerian Kesihatan Gaza, Hani Al-Jaafarwi, dan seorang lagi kakitangan perubatan terbunuh dalam serangan udara di sebuah klinik di Bandar Gaza, awal pagi semalam.

Tentera Israel berkata, pihaknya sedang meneruskan ‘operasi bersasar berpandukan risikan’ di kawasan Rafah, selain menemui stor senjata dan terowong, serta membunuh lelaki bersenjata warga Palestin.

Sayap bersenjata Hamas dan JI berkata, pejuang mereka menyerang tentera Israel di Rafah dengan roket anti-kereta kebal, bom mortar dan peranti letupan yang dipasang lebih awal.

Di Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza, pegawai kesihatan di Hospital Kamal Adwan berkata, dua bayi maut akibat kekurangan zat makanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini