comscore
Tumpuan :
Dunia

9 kanak-kanak antara 24 maut, pusat permainan terbakar

NEW DELHI: Sembilan kanak-kanak antara 24 maut dalam kebakaran sebuah pusat permainan di Rajkot, Gujarat pada Sabtu.

Beberapa orang terperangkap selepas keseluruhan pusat permainan TRP itu terbakar.

Empat kenderaan bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran dan memulakan operasi menyelamat.

Kebakaran itu berlaku di struktur sementara di pusat permainan TRP, menurut laporan agensi berita PTI.

Punca kebakaran masih tidak diketahui buat masa ini.

Pengurus dan pemilik pusat permainan adalah antara tiga yang ditahan berhubung insiden kebakaran itu.

Pesuruhjaya Polis Rajkot Raju Bhargava berkata, “Kami akan mendaftarkan kesalahan kerana kecuaian dan kematian yang berlaku.

“Siasatan lanjut akan dilakukan sebaik sahaja operasi menyelamat selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Gujarat Bhupendra Patel berkata pihak berkuasa sudah diarahkan untuk memberi rawatan segera kepada yang cedera.

Patel juga mengumumkan ex gratia sebanyak Rs 4 lakh (kira-kira RM22,000) kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu dan Rs 50,000 (RM2,836) kepada yang cedera.

Patel berkata, Pasukan Siasatan Khas (SIT) akan diwujudkan untuk mencari punca sebenar kebakaran.

Perdana Menteri Narendra Modi turut mengambil perhatian mengenai kejadian itu dan berkata pentadbiran sedang berusaha untuk memberikan semua bantuan kepada mereka yang terjejas.

Seorang pegawai bomba berkata operasi memadam kebakaran sukar kerana keadaan berangin.

“Punca kebakaran belum dapat dipastikan. Usaha memadam kebakaran sedang dijalankan. Kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai orang hilang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini