comscore
Tumpuan :
Dunia

99 wartawan terkorban tahun lalu, sebahagian besar mangsa perang Israel-Palestin

FOTO: Laman Web CPJ

NEW YORK: Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) melaporkan 72 daripada 99 wartawan yang terbunuh tahun lalu terbabit dalam perang Israel-Palestin.

Ia menjadikan 12 bulan terakhir sebagai tempoh paling berbahaya bagi media dalam hampir tempoh sedekad.

Jumlah kematian wartawan lazimnya berkurangan tahun ke tahun di peringkat global jika bukan kerana kematian di Gaza, Israel dan Lubnan, kata CPJ, walaupun angkanya kekal di Somalia dan Filipina.

Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak 2015 dengan peningkatan hampir 44 peratus berbanding 2022.

“Pada Disember 2023, CPJ melaporkan lebih ramai wartawan terbunuh dalam tiga bulan pertama perang Israel-Hamas berbanding yang pernah terkorban di satu negara sepanjang tahun,” kata CPJ.

Jawatankuasa itu berkata, 72 wartawan yang terbunuh dalam konflik Israel-Palestin termasuk tiga warga Lubnan dan dua mangsa dari Israel.

Ketua Eksekutif CPJ, Jodie Ginsberg, menyifatkan wartawan di Gaza sebagai saksi barisan hadapan.

“Kerugian besar dialami wartawan Palestin dalam perang ini akan memberi impak jangka panjang terhadap kewartawanan bukan sahaja di Palestin tetapi untuk rantau ini dan seterusnya.

“Setiap wartawan yang terkorban adalah tamparan terhadap kefahaman kita mengenai dunia,” katanya.

Pada 7 Februari, organisasi kebebasan akhbar berpangkalan di New York itu berkata, jumlah wartawan yang terbunuh dalam konflik Gaza meningkat kepada 85 orang.

Sebelum ini, CPJ menyifatkan apa yang berlaku sebagai penganiayaan terhadap wartawan oleh tentera Israel, dan sedang menyiasat sama ada 12 wartawan yang terbunuh dalam konflik Gaza sengaja disasarkan oleh tentera Israel, yang juga jenayah perang.

Israel berikrar menumpaskan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel, yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pengurangan terbesar dalam kematian wartawan dicatat di Ukraine dan Mexico, kedua-duanya menurun daripada 13 kepada dua.

Seorang yang terbunuh di Ukraine ialah wartawan AFP, Arman Soldin.

Soldin, 32, terkorban selepas pasukannya diserang berhampiran bandar timur Bakhmut.

CPJ memberi amaran Mexico, Filipina dan Somalia, adalah antara negara paling berbahaya di dunia untuk media.

“Memburukkan lagi keadaan, agensi kerajaan mengintip wartawan dan pembela hak asasi manusia, manakala sejumlah besar wartawan terpaksa meninggalkan rumah dan kerjaya mereka kerana keganasan,” katanya.

Loading...
Terkini