comscore
Tumpuan :
Dunia

Agama bukan punca kepada keganasan di selatan Thailand – Ketua Fasilitator

FOTO: NSTP

PATTANI: Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan bahawa agama bukan punca kepada keganasan di selatan Thailand.

“Keganasan yang berlaku di selatan Thailand adalah berikutan tindakan radikal segelintir individu yang mahu melakukan keganasan atas nama agama,” katanya ketika perjumpaan dengan wakil-wakil penganut agama Buddha dari empat wilayah di selatan Thailand di Wat Chang Hai di Khok Pho, Pattani hari ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu kini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke selatan Thailand.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Zulkifli selepas dilantik sebagai fasilitator baharu Malaysia untuk proses dialog damai di selatan Thailand berkuatkuasa 1 Januari 2023. Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor.

Zulkifli berkata Malaysia sentiasa komited dalam memudahcara kerajaan Thailand dan masyarakat Patani di wilayah sempadan selatan Thailand melalui meja rundingan.

“Walaupun konflik di selatan Thailand merupakan isu dalaman Thailand namun Malaysia sebagai jiran yang mempunyai hubungan erat mahu memudah cara dan membantu menyelesaikan konflik itu,” katanya.

Zulkifli menyaran semua pihak menyokong proses rundingan damai antara pihak kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand di antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10.

Proses itu bermula apabila Yingluck Shinawatra, Perdana Menteri Thailand pada ketika meminta Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

Berikutan itu, satu Konsensus Am (General Consensus) di antara Kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Basional (BRN) termeterai pada 28 Februari 2013. – BERNAMA

Loading...
Terkini