comscore
Tumpuan :
Dunia

Ahli arkeologi dan Akademi Dunhuang China terima anugerah UNESCO

Foto: chinadaily.com.cn

DUNHUANG: Akademi Dunhuang dan ahli arkeologi, Fan Jinshi, menerima anugerah kecemerlangan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) sebagai mengiktiraf sumbangan yang diberikan selama ini.

Anugerah itu disampaikan pada Forum Warisan Budaya Tidak Ketara bagi Mempromosikan Pembangunan Lestari, di sini, pada Khamis.

Turut menerima anugerah itu ialah presiden kehormat akademi itu Chang Shuhong dan bekas presiden akademi itu Duan Wenjie.

Menurut wakil UNESCO, penganugerahan itu bersempena sambutan ulang tahun ke-50 kelulusan Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia dan untuk menghargai sumbangan akademi dan individu berkenaan dalam melindungi Groto Mogao yang terdapat di provinsi Gansu, barat laut China.

Terdapat 45,000 meter persegi mural dan lebih 2,000 arca berwarna di Groto Mogao, satu daripada penghabluran kepelbagaian budaya Jalan Sutera dan disenaraikan sebagai Warisan Dunia pada 1987.

“Pencapaian perlindungan Groto Mogao tidak boleh dipisahkan daripada sokongan kuat negara, pemeliharaan dan bantuan institusi akademik, pakar serta sarjana dari dalam dan luar negara, selain usaha berterusan beberapa generasi selama hampir 80 tahun.

“Kita mesti bekerja keras untuk melindungi Groto Mogao, di samping mencari keseimbangan antara perlindungan, penyelidikan dan promosi Groto Mogao.” kata Fan Jinshi.

Kini terdapat hampir 17,000 peninggalan budaya dan tapak bersejarah di provinsi Gansu, termasuk tujuh tapak warisan budaya dunia.

Pada tahun lepas, UNESCO, Bank Dunia dan kerajaan provinsi Gansu menandatangani perjanjian untuk menggunakan sumber budaya serta kreatif Gansu untuk mempromosikan perlindungan warisan budaya dan pembangunan inovatif setempat. – BERNAMA-CMG

Loading...
Terkini