comscore
Tumpuan :
Dunia

Ahli Parlimen Quebec Enggan Angkat Sumpah Taat Setia Kepada Raja Charles

FOTO AP: Gambar fail menunjukkan Pasukan Polis Berkuda Diraja Kanada menerajui upacara memperingati Ratu Elizabeth II di Gereja Christ Church di Ottawa, Ontario.

MONTREAL: Seramai 11 ahli Parlimen pembangkang Quebec yang baharu dilantik semalam, mengisytiharkan tidak akan mengangkat sumpah taat setia kepada ketua negara Kanada, Raja Charles III seperti yang dikehendaki Perlembagaan.

Ahli parti solidaire Quebec yang dipilih pada 3 Oktober lalu, menyertai tiga ahli Parti Quebecois pada minggu lalu yang mengatakan mereka juga tidak akan mengangkat sumpah taat setia.

Sebaliknya, mereka memilih untuk bersumpah setia hanya kepada rakyat Quebec.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada tindakan itu mencukupi untuk mereka mengambil tempat di Dewan Negara wilayah itu.

Jurucakap solidaire Quebec, Gabriel Nadeau-Dubois, berkata ahli parti mereka bertindak ‘berdasarkan pengetahuan mengenai fakta’.

“Kami berkempen untuk mengubah era di Quebec dan sekiranya kami dihantar ke badan perundangan, maka ini adalah untuk membuka ruang bagi melakukannya,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Parti Quebecois, Paul St-Pierre Plamondon, minggu lalu menyatakan bahawa mengangkat sumpah akan menjadi ‘konflik kepentingan’ kerana ‘seseorang tidak boleh berkhidmat kepada dua tuan’.

Tambahnya, monarki menelan kos ’67 juta dolar Kanada setahun’ dan sumpah sebegitu, menurutnya adalah ‘mengingatkan terhadap penguasaan kolonial’.

Bersumpah taat setia kepada Raja sering menjadi perbalahan di Quebec, di mana kebanyakan rakyatnya berbahasa Perancis.

Ia mengadakan dua pungutan suara pada 1980 dan 1995 untuk berpisah daripada Kanada, namun gagal.

Sementara itu, Perdana Menteri, Justin Trudeau, berkata terpulang kepada badan perundangan Quebec ‘untuk memutuskan bagaimana mereka mahu mengatur proses angkat sumpah’.

Tambah beliau, ‘tidak ada rakyat Quebec yang mahukan kita membuka semula Perlembagaan’ selepas rundingan Perlembagaan pada masa lalu dengan semua 10 wilayah berakhir tanpa persetujuan. – AFP

Loading...
Terkini