comscore
Tumpuan :
Dunia

Akram kongsi rahsia sempurnakan tiga sepakan penalti

Foto: Reuters

DOHA: Kejayaan Qatar mempertahankan Piala Asia di hadapan penyokong sendiri menewaskan Jordan 3-1,  turut diiringi catatan gemilang pemain sayapnya Akram Afif yang mencipta sejarah pemain pertama menjaringkan tiga gol atau hatrik di pentas final Piala Asia sejak format pusingan kalah mati diperkenalkan pada  edisi 1972.

Pemain kelab Al-Sadd itu juga muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lapan gol dan turut dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Asia 2023.

Pada usia 27 tahun, Akram yang dilahirkan di Doha, turut menampilkan ketenangan dan kematangannya menyempurnakan tiga sepakan penalti dalam situasi aksi final yang cukup mencabar.

Foto: Reuters

“Sudah tentu, dengan menjaringkan penalti, ia kerana keyakinan rakan sepasukan kepada saya, ia bukannya mengenai teknik, bukan pemilihan sudut sepakan, tetapi perasaan di mana semua pemain dan penyokong ada di belakang saya, dan sekali lagi, tahniah kepada semua kerana mewakil negara teluk dengan baik, ” kongsi Akram.

Paling menarik Akram turut menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika membantu Qatar muncul juara Piala Asia buat kali pertama  pada 2019 di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengalahkan Jepun. juga dengan keputusan 3-1.

Akram ketika ini berkongsi kedudukan keempat penjaring terbanyak Piala Asia sepanjang zaman bersama Naohiro Takahara (Jepun) dan Ali Mabkhout (UAE) dengan sembilan gol.

Dia bakal berdepan saingan sengit daripada rakan sepasukannya, Almoez Ali yang kini penjaring kedua terbanyak Piala Asia sepanjang zaman dengan 11 gol.

Akram turut memuji penampilan Jordan yang memberi saingan sengit pada aksi final semalam.

“Saya tidak mengatakan nasib tidak menyebelahi Jordan, tetapi tahniah kepada Jordan kerana apa yang mereka lalukan merupakan satu pencapaian besar.” ujar Akram yang memiliki paras mirip penyerang Liverpool, Mohamad Salah.

Kejayaan ‘The Maroons’  menjulang trofi Piala Asia menyaksikan pasukan itu  menyamai pencapaian Jepun, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan mempertahankan kejuaraan untuk dua edisi berturut-turut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini