Tumpuan :
Dunia

Aksi Liga Negara-negara antara Perancis-Israel dikawal ketat

Peminat Israel bertembung dengan pegawai keselamatan ketika aksi Liga Negara-Negara Perancis-Israel di Stade de France, Saint-Denis, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

PARIS: Perancis dan Israel seri tanpa jaringan pada aksi Liga Negara-Negara di Paris awal pagi tadi yang dikepung dengan operasi keselamatan besar-besaran.

Kira-kira 4,000 anggota polis dan pasukan tentera keselamatan berkawal di dalam dan luar Stade de France untuk mengelak ulangan serangan penyokong kelab Israel, Maccabi Tel Aviv di Amsterdam minggu lalu.

Seramai 1,600 anggota keselamatan awam turut bertugas.

Pengawal stadium terpaksa masuk campur pada satu ketika untuk menghalang peminat kedua-dua negara bergaduh di bangku penonton.

Video yang dirakam penonton dan disiarkan dalam platform laman sosial X menunjukkan peminat, sesetengahnya dengan bendera Israel, berlari di kawasan sekitar tempat duduk di stadium manakala penyokong lain mencemuh dan mencerca.

Pasukan keselamatan stadium bergerak ke arah dua kumpulan itu untuk memisahkan mereka dan insiden itu berakhir dalam beberapa minit.

Ketegangan menjelang perlawanan itu menyebabkan ramai peminat tidak menyaksikannya dengan hanya 16,611 penonton hadir di stadium yang boleh memuatkan 80,000.

Kira-kira 100 peminat Israel menghadiri perlawanan itu di sebalik gesaan daripada pihak berkuasa Israel supaya mereka tidak menyaksikan perlawanan itu.

Kira-kira 600 ahli komuniti Yahudi di Perancis berkunjung ke stadium itu menaiki bas yang dikawal polis pengiring.

Pihak berkuasa Perancis melancarkan operasi keselamatan besar-besaran selepas kerajaan menolak permintaan sesetengah ahli Parlimen Perancis supaya menangguh perlawanan itu atau mengubahnya ke gelanggang lain. –AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini