comscore
Tumpuan :
Dunia

Alaska Airlines batal semua penerbangan pesawat 737-9 MAX sehingga Sabtu 

FOTO: Ihsan Alaska Airlines

WASHINGTON: Alaska Airlines pada Rabu mengumumkan pembatalan semua penerbangan membabitkan pesawat Boeing 737-9 MAX sehingga Sabtu.

Pengumuman itu dibuat sementara menunggu dokumentasi dari Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat untuk memudahkan pemeriksaan ke atas pesawat 737-9 MAX, susulan insiden panel tingkap kabin pesawat tercabut pada Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata setakat Rabu pagi pihaknya telah memutuskan untuk membatalkan semua penerbangan pesawat 737-9 MAX sehingga Sabtu, 13 Januari.

Menurut Alaska Airlines, pihaknya berharap tindakan itu dapat memberikan pengguna lebih kepastian dan kami sedang berusaha untuk menempatkan pengguna yang terjejas ke penerbangan lain.

Pihaknya turut kesal dengan gangguan itu yang telah menyebabkan pengguna menghadapi kesulitan.

Insiden itu telah menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa membuat pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat.

Pada Sabtu, pihak berkuasa juga telah mengeluarkan larangan sementara untuk kira-kira 171 pesawat Boeing 737-9 MAX bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan. – BERNAMA-AA

Loading...
Terkini