comscore
Tumpuan :
Dunia

Alat bedah sebesar pinggan tertinggal dalam perut pesakit

Contoh gambar AWR

AUCKLAND: Alat pembedahan yang dikenali sebagai retraktor perlindungan luka Alexis atau AWR, tertinggal di dalam perut seorang wanita selama 18 bulan selepas dia menjalani pembedahan Caesarean di Auckland City Hospital, lapor The Guardian.

Sepanjang tempoh itu, wanita berkenaan mengalami sakit kronik sebelum alat sebesar pinggan makan itu ditemui di dalam perutnya.

Kesakitan mangsa sangat teruk sehingga dikejarkan ke jabatan kecemasan di hospital bandar Auckland.

AWR didapati tertinggal di dalam perut ibu berkenaan, selepas bayinya dilahirkan di hospital di bandar Auckland pada 2020.

Pada Isnin lalu, Pesuruhjaya Kesihatan dan Kurang Upaya New Zealand, Morag McDowell, mendapati Te Whatu Ora Auckland yang dahulunya Lembaga Kesihatan Daerah Auckland, melanggar kod hak pesakit.

“Terdapat kes duluan untuk membuat kesimpulan bahawa apabila objek asing ditinggalkan di dalam pesakit semasa pembedahan, penjagaan itu jatuh di bawah standard,” kata laporan McDowell.

Laporan berkenaan memperincikan bahawa wanita itu menjalani pembedahan Caesarean kerana kebimbangan mengenai plasenta previa (keadaan uri yang tidak normal).

“Satu AWR, alat yang digunakan untuk menarik balik tepi luka semasa pembedahan, ditinggalkan di perutnya selepas pembedahan Caesarean.

“Ini mengakibatkan wanita itu mengalami sakit perut kronik sehingga peranti itu ditemukan secara kebetulan semasa imbasan CT,” menurut laporan itu.

AWR bersaiz seperti pinggan makan tidak dapat dikesan menerusi X-ray.

Ia akhirnya dikeluarkan dari perut wanita itu pada 2021, kira-kira 18 bulan selepas pembedahan berkenaan.’

Loading...
Terkini