comscore
Tumpuan :
Dunia

Amerika Syarikat suarakan kebimbangan ‘bencana’ di Gaza

FOTO: Reuters

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan ‘bencana’ yang berlaku di Gaza susulan serangan berterusan Israel.

Kenyataan itu dilontarkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield turut menggesa konflik berterusan itu harus ditangani bagi meredakan ketegangan konflik Palestin-Israel.

“Keadaan bencana ini telah diramalkan beberapa bulan lalu, namun, masih belum ditangani. Ini mesti diubah, dan sekarang.

“Kami menyeru Israel untuk mengambil langkah segera untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan.

Selain itu, Thomas-Greenfield mempertikai arahan Israel yang meminta orang awam di Utara Gaza berpindah susulan bakal berlakunya serangan terbaru di wilayah itu.

“Tiada perubahan demografi atau wilayah di Semenanjung Gaza, termasuk sebarang tindakan yang mengurangkan wilayah Gaza,” tegasnya.

Sementara itu, Reuters pada minggu lalu melaporkan bekalan makanan ke Gaza telah merosot dengan ketara dalam beberapa minggu kebelakangan, rentetan daripada tindakan negara haram Israel memperkenalkan peraturan kastam baru ke atas beberapa bantuan kemanusiaan dan secara berasingan mengurangkan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Sejak perang yang dilancarkan kumpulan pejuang Hamas 7 Oktober tahun lalu, pihak berkuasa kesihatan di Gaza melaporkan hampir 42,000 orang telah terbunuh setakat ini dalam tindakan balas Israel.

Israel sejak itu telah memusnahkan banyak kawasan di wilayah tersebut dan hampir 2.3 juta kehilangan tempat tinggal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini