BANGKOK: Anak lelaki kepada pelakon Sepanyol, Rodolfo Sancho Aguirre diberkas di Thailand, berhubung kes pembunuhan seorang pakar bedah warga Colombia dengan mayatnya dikerat, di pulau pelancongan Koh Phangan.
Kelmarin, polis bersama Daniel Sancho Bronchal ke tujuh lokasi, termasuk sebuah pantai dengan suspek dituduh membuang beberapa beg plastik mengandungi sebahagian anggota badan, dipercayai seorang lelaki.
Polis kemudian mengenal pasti mangsa sebagai Edwin Arrieta Arteaga, 44 tahun.
Menurut pegawai polis Thailand, Mejar Jeneral Saranyu Chamnanrat, suspek dihadapkan ke mahkamah, dengan polis memperoleh kebenaran untuk melanjutkan tempoh penahanannya bagi membantu siasatan.
Saranyu berkata, Sancho, 29 tahun, menghadapi pertuduhan melakukan pembunuhan terancang dan mengerat serta menyembunyikan anggota badan mangsa untuk mengaburi perlakuan jenayah itu serta puncanya.
Anak kepada pasangan pelakon, Rodolfo Sancho dan Silvia Bronchalo itu bekerja sebagai cef dan mengunjungi Thailand untuk bercuti.
Sancho ditahan sejurus selepas sebahagian keratan anggota badan mangsa ditemui di sebuah tapak pelupusan sampah di Koh Phangan yang terkenal sebagai destinasi tumpuan pelancong untuk parti ‘bulan penuh’ yang diadakan secara bulanan.
Polis berkata, suspek mengaku melakukan jenayah berkenaan, manakala keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas hasil penemuan terbabit mengesahkan ia adalah anggota badan Arrieta.
Polis juga mempunyai bukti lain terhadap Sancho.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan ThaiPBS menunjukkan Sancho dan Arrieta menunggang sebuah motosikal bersama-sama beberapa hari sebelum keratan anggota badan terbabit ditemui.
Polis Thailand memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan sementara pihak berkuasa meneruskan pencarian baki anggota badan mangsa.