comscore
Tumpuan :
Dunia

Ancaman demam campak kembali dengan lonjakan kes di seluruh dunia

Foto: UNICEF

LONDON: Ancaman penyakit demam campak kini semakin buruk setelah dilaporkan merebak di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi kesihatan awam Amerika Syarikat (AS), situasi itu berlaku ketika pandemik COVID-19 menjejaskan program suntikan vaksinasi serta pemantauan jangkitan penyakit itu.

Virus demam campak adalah antara yang paling mudah berjangkit dan boleh dicegah sepenuhnya melalui vaksinasi.

Bagaimanapun, ia memerlukan kira-kira 95 peratus liputan vaksinasi untuk mencegah penularan penyakit itu dalam kalangan penduduk.

WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam satu laporan bersama menyatakan hampir 40 juta kanak-kanak gagal mendapatkan suntikan vaksin demam campak pada 2021 akibat halangan disebabkan pandemik Covid-19.

Malah, jelas laporan itu, jumlah berkenaan merupakan yang tertinggi pernah direkodkan.

Ketua WHO sektor penyakit demam campak, Patrick O’Connor memaklumkan sudah tiba masanya untuk bertindak walaupun kes demam campak masih belum meningkat secara mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tambah O’Connor, pelbagai faktor seperti langkah penjarakan sosial yang berterusan dan sifat kitaran demam campak menjelaskan mengapa lonjakan kes jangkitan belum berlaku walaupun jurang imuniti semakin meluas.

Beliau juga amat bimbang dengan kesannya di bahagian sub-Sahara Afrika. – REUTERS

Loading...
Terkini