Tumpuan :
Dunia

Angin kencang ‘Santa Ana’ berpotensi cetus gelombang kedua kebakaran Los Angeles

Anggota bomba memadamkan kebakaran semasa Kebakaran Palisades, salah satu daripada beberapa kebakaran serentak yang melanda Los Angeles County, berlaku di Mandeville Canyon, sebuah kawasan kejiranan di Los Angeles, California. – FOTO: Reuters

LOS ANGELES: Angin kencang kembali membadai Los Angeles pada Isnin, mengancam usaha mengawal dua kebakaran besar yang telah memusnahkan kawasan kejiranan, meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa, dan membakar kawasan sebesar Washington, D.C.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan angin kencang Santa Ana dengan kelajuan 50 hingga 70 batu sejam akan berterusan sehingga Rabu.

Amaran tahap merah itu memperlihatkan indikator situasi amat berbahaya yang telah dikeluarkan, menandakan ancaman kebakaran paling serius.

Menurut pihak berkuasa, pasukan bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak dan sedang bersiap menghadapi angin yang dijangka bertambah kuat dalam beberapa hari akan datang.

Lebih 8,500 anggota bomba telah dikerahkan, dengan pasukan tambahan diposisikan di kawasan berisiko seperti sekitar kebakaran Palisades dan Eaton, dua kebakaran terbesar yang meranapkan Los Angeles.

Sementara itu, Lebih 150,000 penduduk dipindahkan, sementara 87,000 lagi berada dalam zon amaran pemindahan. Setakat ini, lebih 12,000 kediaman dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas lebih 60 batu persegi (155 kilometer persegi).

Ketika ini, anggaran awal kerugian akibat kebakaran hutan itu mencecah sekurang-kurangnya AS$10 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini