comscore
Tumpuan :
Dunia

Angka kematian di Gaza meningkat, hampiri 43,000 orang

Foto: Reuters

GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah korban Palestin di Semenanjung Gaza kini meningkat kepada 42,847 orang sejak konflik Hamas-Israel tercetus pada Oktober tahun lalu.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, serangan tentera Israel telah meragut 55 nyawa dan mencederakan 132 yang lain, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa cedera sebanyak 100,544 orang.

Media tempatan melaporkan, serangan terbaru tertumpu di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, menyebabkan lebih 150 orang terkorban atau cedera.

Selain itu, serangan udara tentera Israel di sebuah sekolah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza yang menjadi tempat perlindungan orang awam, turut mengorbankan 17 orang.

Pada hari yang sama, tentera Israel turut menyerang kawasan bulatan Sheikh Zayed di utara Gaza, menyebabkan seorang terkorban dan turut mengebom kem pelarian Maghazi di tengah Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan ramai cedera, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Sementara itu, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataannya pada Khamis mendakwa mereka telah menewaskan puluhan pejuang Gaza serta memusnahkan infrastruktur di sekitar Jabalia.

IDF juga mendakwa mereka telah membunuh Mohammad Abu Attawi, komander ketenteraan Hamas yang dipercayai terlibat dalam serangan mengejut terhadap Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Hamas bagaimanapun belum mengesahkan kematian komander ketenteraan mereka itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini