
GAZA: Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah meningkat kepada 47,417, dengan 111,571 lagi cedera, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza pada tengah hari Rabu.
Walaupun fasa pertama perjanjian gencatan senjata sedang dilaksanakan, jumlah kematian di Gaza terus bertambah. Dalam tempoh 24 jam terakhir, tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin dan dua lagi maut akibat kecederaan.
Selain itu, 59 mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan.
Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa lebih 500,000 pelarian Palestin telah kembali ke utara Gaza dalam tempoh 72 jam terakhir melalui Jalan al-Rashid dan Jalan Salah al-Din.
Namun, sebahagian daripada mereka terpaksa berpatah balik ke kawasan tengah Gaza kerana mendapati tiada bekalan air, makanan, tempat perlindungan, atau sistem sanitasi di utara Gaza.
Sejak 7 pagi Isnin, tentera Israel membenarkan orang ramai berjalan kaki ke utara Gaza melalui Jalan Al-Rashid.
Kenderaan turut dibenarkan setelah menjalani pemeriksaan keselamatan.
Dalam pada itu, dua pegawai kanan Hamas menuduh Israel melambatkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan, termasuk bahan api, khemah, jentera berat, dan peralatan lain untuk pemulihan Gaza.
Israel menolak tuduhan itu dengan mengatakan bahawa 3,000 trak bantuan telah memasuki Gaza antara Ahad hingga Rabu pagi, selaras dengan perjanjian gencatan senjata yang menetapkan 4,200 trak seminggu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.