comscore
Tumpuan :
Dunia

Angka Korban Kanak-Kanak Meningkat

Foto: Reuters

JAKARTA: Angka korban mangsa kanak-kanak dalam insiden rusuhan bola sepak pada malam Sabtu lalu di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur meningkat kepada 32 daripada kiraan awal 17, kata seorang pegawai kerajaan hari ini.

Keganasan dan ‘hooliganisme’ sudah lama menjadi ciri bola sepak Indonesia, terutama di ibu negara, Jakarta namun tragedi Sabtu lalu di sebuah bandar kecil di Jawa menyorotkan perhatian terhadap masalah itu.

Kakak sulung kepada dua korban adik-beradik, Endah Wahyuni, tidak menyangka insiden itu mengorbankan dua adiknya, Ahmad Cahyo, 15, dan Muhammad Farel, 14, dalam rusuhan berkenaan.

“Mereka meminati bola sepak, tetapi tidak pernah menonton pasukan tuan rumah yang disokong Arema FC secara langsung di stadium Kanjuruhan. Ini kali pertama mereka pergi,” katanya ditemui pada majlis pengebumian kedua-dua adiknya semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, hari ini berkata kerajaan akan menubuhkan pasukan pencari fakta bebas terdiri daripada ahli akademik dan bola sepak serta pegawai kerajaan untuk menyiasat insiden yang berlaku.

Katanya, pasukan itu akan mengambil masa beberapa minggu untuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Menurut Pegawai Kementerian Pemerkasaan Wanita, Nahar, selain mangsa yang maut itu, tujuh lagi sedang dirawat di hospital.

Insiden Sabtu lalu itu berlaku ketika penonton yang panik cuba melarikan diri dari stadium yang penuh sesak dan berlaku kekecohan serta rempuhan sesama mereka selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong daripada pasukan tuan rumah yang kalah, berlari ke padang pada penghujung perlawanan.

Pasukan tuan rumah, Kelab Arema FC tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya, walaupun pihak berkuasa berkata, tiket tidak diberikan kepada peminat Persebaya atas faktor keselamatan.

Menurut Mahfud, 42,000 tiket dikeluarkan melebihi 38,000 kapasiti stadium itu.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyifatkan insiden itu tragedi gelap untuk semua dan mengarahkan pihak berkuasa bola sepak Indonesia mengeluarkan laporan berkenaan rusuhan terbabit.

Polis dan pegawai sukan dihantar ke Malang untuk menyiasat insiden berikutan tragedi itu adalah antara paling ramai mengakibatkan korban nyawa dalam acara sukan di dunia. – REUTERS

Loading...
Terkini