BRASILIA: Angka kematian susulan runtuhan sebuah jambatan di Brazil yang menyebabkan tumpahan asid minggu lalu, meningkat kepada empat orang termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, sehingga semalam.
Menurut pihak berkuasa, runtuhan jambatan Juscelino Kubitschek de Oliveira itu menyebabkan 13 lagi mangsa hilang.
Katanya, keadaan semakin kritikal apabila tiga lori yang membawa muatan asid sulfurik dan racun perosak adalah antara lapan kenderaan yang jatuh ke dalam Sungai Tocantins apabila jambatan terbabit runtuh, Ahad lalu.
Menurut Agensi Air Nasional Brazil, kenderaan berat itu membawa 22,000 liter racun perosak pertanian dan 76 tan asid sulfurik, iaitu sejenis bahan kimia yang menghakis.
Katanya, sehingga kini, belum diketahui sama ada asid terbabit meresap keluar dari lori dan mencemari sungai dan analisis air sedang dijalankan.
Sementara itu, pasukan penyelamat melakukan operasi secara berhati-hati, dengan menggunakan bot dan bekalan air sungai ke komuniti berhampiran juga dihentikan.
Pasukan bomba yang hadir di lokasi kejadian melaporkan bahawa empat mayat ditemui, termasuk pemandu wanita salah satu lori pengangkut asid, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Pada Ahad, seorang lelaki berusia 36 tahun berjaya diselamatkan.
Jambatan yang dibina pada 1960-an sepanjang lebih setengah kilometer itu merupakan penghubung utama antara negeri Tocantins dan Maranhao di Brazil.
Punca runtuhan sedang disiasat, namun petunjuk awal menunjukkan bahawa bahagian tiangnya patah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.