KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan bahawa jumlah korban akibat serangan Israel di Lubnan sejak bermulanya konflik antara Israel dan Hizbullah pada 8 Oktober lalu telah mencecah 3,189 nyawa, manakala angka kecederaan meningkat kepada 14,078 orang.
Pada Ahad, kementerian tersebut memaklumkan serangan udara Israel di bandar Almat di Daerah Jbeil, utara Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk kanak-kanak.
Sementara itu, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan mendakwa mereka berjaya membunuh seorang komander unit artileri Hizbullah di Lubnan.
IDF juga mendakwa telah menemui dan memusnahkan terowong bawah tanah besar milik Hizbullah di selatan Lubnan, yang mengandungi bilik kawalan dan kemudahan simpanan senjata.
Pada masa sama, Hizbullah turut memaklumkan bahawa mereka melancarkan serangan roket ke atas pasukan Israel serta beberapa sasaran lain pada hari yang sama.
Kumpulan pejuang itu juga dilaporkan bertempur dengan tentera rejim di pinggir bandar Aitaroun di selatan Lubnan.
Pertempuran antara Israel dan Hizbullah bermula sejak 8 Oktober 2023, sehari selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel.
Sejak 23 September, tentera rejim memperhebat serangan udara terhadap Hizbullah di seluruh Lubnan, menyebabkan kematian ramai orang awam dan pemindahan besar-besaran penduduk dari kawasan terjejas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.