comscore
Tumpuan :
Dunia

Angkasawan Apollo 8, William Anders yang mengambil foto ‘Earthrise’, maut nahas pesawat

Foto: Agensi

WASHINGTON: Bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS) William Anders, yang merupakan sebahagian daripada misi Apollo 8 yang menyaksikan anak kapal pertama mengorbit bulan pada 1968, maut dalam nahas pesawat di barat laut Seattle, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, yang dilaporkan oleh anak lelakinya.

Anders berusia 90 tahun.

Dia terbang bersendirian dalam pesawat kecil apabila ia terhempas di luar pantai negeri Washington, menurut laporan. Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan untuk mengetahui punca nahas.

Semasa misi Apollo 8, Anders merakamkan foto terkenal Earthrise yang menggambarkan bulan dengan latar belakang Bumi “terbit” di angkasa. Imej itu telah diiktiraf dengan mengubah persepsi manusia terhadap planet ini dan menjadi simbol kerapuhan Bumi. Ada juga yang menganggapnya sebagai asal usul kepada gerakan alam sekitar hari ini.

Anders telah menawarkan kepada manusia antara hadiah paling bermakna yang boleh diberikan oleh seorang angkasawan,” catat ketua NASA Bill Nelson dalam hantaran di platform X.

“Beliau mengembara ke ambang Bulan dan membantu kita semua melihat sesuatu yang lain: diri kita sendiri. Beliau menghayati pengajaran dan tujuan penerokaan. Kami akan merinduinya.”

Selepas kerjaya NASA, Anders berkhidmat sebagai penasihat presiden AS dan duta AS. Beliau juga bekerja untuk pelbagai syarikat tenaga nuklear dan penerbangan, antara lain.

Terbaru, Anders tinggal di Kepulauan San Juan di luar negeri Washington, di pantai barat laut AS. Beliau berkahwin dan mempunyai enam orang anak. – BERNAMA-dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini