comscore
Tumpuan :
Dunia

Anjing merayau sambil gonggong tangan manusia bawa penemuan mayat di dalam 53 beg plastik sampah

Foto: AFP

 

IRAPUATO: Kira-kira 53 beg plastik sampah berisi mayat manusia dikeluarkan dari sebuah kubur di bandar Irapuato, Mexico sejak akhir Oktober lalu.

Kerja-kerja penggalian bermula selepas penduduk tempatan melaporkan melihat se­ekor anjing merayau-rayau sambil menggonggong tangan manusia.

Menurut akhbar USA Today, Irapuato yang terletak dalam ne­geri Guanajuato, mempunyai kadar pembunuhan tertinggi antara kesemua 32 negeri di Mexico.

Keganasan sering tercetus akibat persengketaan bertahun-tahun antara kartel dadah Jalisco dan Sinaloa.

Menurut pengasas sebuah organisasi yang mencari orang hilang, Bibiana Mendoza, dia pergi ke bandar Irapuato untuk mencari saudara lelakinya selepas mendengar beberapa laporan mengatakan bahawa terdapat anjing merayau-rayau sambil membawa tangan manusia.

Mendoza, 32, kini bekerja­sama dengan pakar-pakar forensik untuk mengenal pasti identiti mayat yang ditemui di dalam 53 beg sampah itu.

Beberapa pertempuran ganas tercetus antara kartel dadah dengan agensi penguat kuasa undang-undang di negeri Guanajuato sejak beberapa bulan ke­belakangan ini.

Dalam kejadian berasingan, sebilangan anggota sebuah kartel dadah terbunuh Ahad lalu semasa menyerang balai polis di Celaya iaitu sebuah pekan yang terletak kira-kira 64 kilometer ke timur Irapuato. – Agensi

Loading...
Terkini