
RIYADH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri sementara Pakistan, Anwaar-ul-Haq Kakar.
Mesyuarat itu diadakan di luar sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin yang dihadiri oleh kedua-dua pemimpin.
Terdahulu, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Iran, Ebrahim Raisi.

Pemimpin dan delegasi negara anggota OIC berhimpun pada sidang kemuncak itu, yang dihoskan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Sidang kemuncak tergempar itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdul Aziz, diadakan susulan penglibatan meluas Anwar dan beberapa pemimpin OIC berkaitan isu Palestin, selain serangan serta kekejaman berterusan rejim Israel.
Berucap di hadapan pemimpin Islam pada sidang itu semalam, Perdana Menteri menggesa negara anggota OIC secara konsisten mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan. – BERNAMA