KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada rakyat Sepanyol yang berdepan kehilangan lebih 200 ratus nyawa dan kemusnahan meluas di Valencia akibat bencana banjir, minggu lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata rakyat Malaysia sentiasa bersama dengan rakyat Sepanyol dalam berdepan masa yang sukar ini.
“Kita akan terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sepanyol dengan harapan yang tulus supaya keadaan akan bertambah baik dalam hari-hari yang mendatang,” katanya, hari ini.
Semalam, Kementerian Luar mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terjejas secara langsung akibat banjir yang melanda Valencia dan kawasan sekitarnya di Sepanyol sejak 29 Oktober lalu.
Kementerian Luar turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar terus berwaspada dan mematuhi arahan serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan diminta supaya sentiasa berhubung rapat dengan pihak kedutaan serta digalakkan untuk mendaftar kehadiran mereka melalui platform E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat dan bantuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.