comscore
Tumpuan :
Dunia

Arab Saudi sambut Aidilfitri esok

 

Ahli astronomi Arab Saudi Abdullah Al-Khudairi yang juga pengarah Balai Cerap Astronomi di Sudair, bersiap sedia untuk melihat anak bulan. – Foto AGENSI/AN

RIYADH: Umat Islam di Arab Saudi akan menyambut 1 Syawal esok susulan anak bulan tidak kelihatan sepanjang tempoh cerapan pada petang semalam.

Pengumuman dibuat Mahkamah Agung Arab Saudi, sekali gus menyaksikan hari ini akan menjadi hari terakhir Ramadan.

Solat sunat Aidilfitri akan diadakan di seluruh negara esok sejurus selepas matahari terbit, dengan pengaturan menyeluruh dibuat untuk menampung jemaah untuk solat Hari Raya tahunan.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah, dan Bimbingan Saudi, Sheikh Abdullatif Al-Asheikh baru-baru ini mengeluarkan arahan untuk mengadakan solat Aidilfitri 15 minit selepas matahari terbit, mengikut kalendar Umm Al-Qura.

Arab News melaporkan dalam pekeliling itu, menteri berkata, solat Aidilfitri perlu dijalankan di kawasan solat terbuka yang ditetapkan, begitu juga di semua masjid kecuali yang bersebelahan dengan kawasan solat.

Terdahulu, pada Ahad lalu, Mahkamah Agung Arab Saudi menggesa umat Islam di seluruh negara untuk melihat hilal Syawal pada petang Isnin, 29 Ramadan, bersamaan dengan 8 April.

Dalam pengumumannya, mahkamah menggesa mana-mana individu yang melihat hilal Syawal dengan mata kasar atau melalui teleskop supaya melaporkannya ke mahkamah terdekat dan merekodkan keterangan mereka.

Ramadan bermula di Arab Saudi dan di kebanyakan negara Arab dan negara lain pada 11 Mac.

Di Malaysia, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang ini (9 April) di 29 lokasi di seluruh negara.

Loading...
Terkini