
AMERIKA SYARIKAT: Ketika kesan daripada rancangan AS untuk mengenakan tarif ke atas Kanada, Mexico, dan China terus berlanjutan, Setiausaha Negara AS kini berada di Panama untuk menyampaikan mesej daripada Trump mengenai apa yang beliau anggap sebagai pengaruh dan kawalan China ke atas Terusan Panama.
Marco Rubio memberitahu Presiden Panama, Jose Raul Mulino, bahawa kehadiran China melalui sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong yang mengendalikan dua pelabuhan berhampiran pintu masuk terusan merupakan ancaman terhadap laluan perairan itu serta satu pelanggaran terhadap perjanjian AS-Panama, menurut kenyataan dari pejabatnya.
“Setiausaha Rubio menegaskan bahawa status quo ini tidak boleh diterima dan jika tiada perubahan segera, Amerika Syarikat perlu mengambil langkah yang perlu untuk melindungi haknya di bawah Perjanjian tersebut,” kata kenyataan itu.
Rubio tidak menjelaskan secara terperinci langkah yang perlu diambil oleh Panama atau bentuk tindakan balas AS yang mungkin dikenakan.
Trump telah mengancam untuk mengambil alih kawalan ke atas Terusan Panama, yang dibina oleh AS pada awal abad ke-20 dan diserahkan kepada Panama pada tahun 1999, dengan mendakwa bahawa terusan itu kini dikendalikan oleh Beijing.
Mulino kemudiannya memberitahu wartawan bahawa Rubio “tidak benar-benar mengancam untuk merampas semula terusan atau menggunakan kekerasan” tetapi menyatakan bahawa negaranya tidak akan memperbaharui perjanjian dengan Inisiatif Jalur dan Laluan China untuk membina lebih banyak infrastruktur.
Terusan Panama merupakan laluan perdagangan penting bagi kapal-kapal, terutamanya bagi AS dan negara-negara Asia Timur, termasuk China, yang merupakan salah satu daripada tiga negara yang bakal menghadapi tarif AS bermula Selasa. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.