comscore
Tumpuan :
Dunia

AS, Eropah mulakan dorongan diplomatik baru hentikan perang di Gaza

Foto fail Reuters

 

GAZA: Tekanan diplomatik baharu diusahakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan diplomat kanan Eropah, Josep Borrell bagi menghentikan perang yang berlaku di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Kedua-duanya akan sekali lagi melawat beberapa negara di Asia Barat, selepas tiga bulan perang berlanjutan antara Israel dan Hamas, yang sehingga kini sudah meragut nyawa 22,600 penduduk Palestin.

Sementara itu, Israel mendakwa sudah membunuh 8,000 pejuang Hamas sejak serangan bermula yang meragut nyawa 1,200 penduduk Israel.

Blinken dijangka melawat Tebing Barat dalam rangka lawatan selama seminggu yang bermula semalam di Turkiye, selaku antara negara ditawarkan untuk menjadi pengantara.

Beliau juga akan melawat Israel, Jordan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Mesir.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, dorongan diplomatik itu bukan untuk kepentingan sesiapa, bukan Israel, bukan untuk rantau itu dan bukan kepada dunia, sebaliknya untuk mencegah konflik merebak ke luar Gaza.

Dalam pada itu, Ketua Dasar Luar EU, Borrell, juga akan tiba di Lubnan bagi mengusahakan penamatan perang di Gaza.

Sementara itu, kira-kira 162 orang terbunuh semalam, dalam serangan semalaman ke atas wilayah Al-Maghazi, Al-Bureij dan Al-Nusseirat yang padat dengan penduduk.

Di selatan pula, ratusan ribu penduduk Gaza bergerak jauh lagi ke selatan berikutan amaran Israel selepas 12 orang terbunuh dalam serangan ke atas Khan Younis.

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, berkata AS harus memberi tumpuan untuk menamatkan pencerobohan terhadap rakyat Palestin dan pendudukan tanah mereka secara haram.

Pemimpin gerakan Hizbollah yang disokong Iran di Lubnan, Hassan Nasrallah, berkata ia sudah menjalankan sekitar 670 operasi ketenteraan di sempadan dengan Israel dan memusnahkan banyak kenderaan tentera Israel.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata fasa seterusnya termasuk serbuan di utara untuk merobohkan terowong dan tumpuan di selatan untuk menyelamatkan kira-kira 132 tebusan Israel yang masih ditahan Hamas. – REUTERS

Loading...
Terkini