
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pembekuan hampir semua pembiayaan baharu untuk program bantuan luar negara, dengan pengecualian untuk sekutu seperti Israel dan Mesir.
Arahan daripada Jabatan Negara AS itu juga termasuk pengecualian untuk program makanan kecemasan, tetapi tidak bagi program kesihatan yang menurut penyokong menyediakan perkhidmatan penting yang menyelamatkan nyawa.
Dalam memo yang menyusuli pengumuman itu, Setiausaha Negara yang baru disahkan, Marco Rubio mengarahkan pegawai kanan untuk “memastikan (pelaksanaan itu) sejauh mana undang-undang membenarkan, tiada kewajipan baharu dibuat untuk bantuan luar negara.”
Organisasi kemanusiaan segera menyuarakan kebimbangan terhadap arahan tersebut dengan menyatakan kebimbangan bahawa ia boleh menyumbang kepada ketidakstabilan global dan kehilangan nyawa.
“Dengan menggantung bantuan pembangunan luar negara, pentadbiran Trump mengancam kehidupan dan masa depan komuniti yang berada dalam krisis, serta meninggalkan pendekatan dwipartisan lama Amerika Syarikat terhadap bantuan luar yang menyokong masyarakat berdasarkan keperluan, tanpa mengira politik,” kata Abby Maxman, ketua Oxfam America, dalam satu kenyataan.
Pembekuan sementara itu dijadualkan berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Dalam tempoh 85 hari pertama, Marco Rubio dijangka membuat “keputusan sama ada untuk meneruskan, mengubah, atau menamatkan program,” menurut memo tersebut. REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.