comscore
Tumpuan :
Dunia

AS kenakan sekatan ke atas 150 lagi penyokong Putin

Foto: Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan seramai 150 lagi individu dan syarikat ke dalam senarai sekatan kerana menyokong Presiden Rusia Vladimir Putin, menurut Jabatan Negara dan Perbendaharaan AS pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) .

Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen berkata matlamatnya adalah untuk menyasarkan rantaian bekalan tentera Rusia dan menghalang Putin daripada mendapatkan peralatan, teknologi dan perkhidmatan yang diperlukan untuk melancarkan perang ke atas Ukraine.

Mereka yang memperoleh keuntungan daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan yang mempunyai kaitan dengan Kremlin juga akan dipertanggungjawabkan.

Kebanyakan sekatan ditujukan secara langsung kepada industri Rusia.

Antara yang termasuk dalam senarai sekatan itu, pengeluar gerabak Transmash, pembuat kereta Avtovaz dan Moskvich dan pengeluar enjin pesawat Soyuz di Moscow.

Syarikat-syarikat besar kejuruteraan Rusia, metalurgi dan perlombongan juga dikenakan sekatan. Kumpulan pembinaan gergasi gas Gazprom, Gazpromstroy, merupakan syarikat baharu yang tersenarai dan syarikat berlian kedua terbesar di Rusia, AGD Diamonds.

Sekatan juga dikenakan ke atas syarikat di negara ketiga, seperti dua firma Turki yang dilihat membekalkan alat ganti untuk pembinaan dron di Rusia.

Ketua pejabat presiden Ukraine, Andrii Yermak, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan AS untuk “langkah tegas” ini. Akibat sekatan itu, aset individu dan syarikat yang disenaraikan akan dibekukan di AS.

Rakyat Amerika atau orang yang berada di AS dilarang melakukan perniagaan dengan entiti dan individu yang dikenakan sekatan. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini