Tumpuan :
Dunia

AS kesan kes pertama Mpox varian Clade I

FOTO: Reuters

SAN FRANCISCO: Amerika Syarikat (AS) mengesan kes pertama cacar monyet atau Mpox daripada varian Clade I membabitkan seorang individu yang baru pulang dari Afrika Timur.

Pesakit itu dikesan di daerah San Mateo, selatan San Francisco, dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Pegawai Jabatan Kesihatan Awam California serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sedang menghubungi kontak rapat pesakit itu untuk ujian lanjut.

Pegawai CDC memaklumkan, tiada bukti bahawa Mpox varian Clade Ib sedang menular di AS.

Namun, jangkitan pada individu yang pulang dari Afrika dikesan di beberapa negara lain, termasuk Jerman, Sweden, Thailand dan Britain.

Di India, satu kes dilaporkan membabitkan individu yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala di Britain pula individu yang dijangkiti turut menjangkiti tiga ahli keluarganya.

“Risiko keseluruhan Mpox Clade I kepada populasi umum di AS akibat wabak di Afrika Tengah dan Timur masih dianggap rendah,” menurut kenyataan CDC sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini