WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengaku membantu Israel menggagalkan serangan peluru berpandu balistik Iran, malam tadi sambil mendakwa serangan berkenaan berjaya ditumpaskan.
Menurut seorang pegawai kanan Rumah Putih yang memberitahu perkara itu kepada wartawan, tentera AS menjalinkan koordinasi rapat dengan rakan sejawat mereka di Israel untuk menangkis serangan peluru berpandu Iran.
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan, semalam berkata kapal pemusnah milik tentera laut AS menyertai unit pertahanan udara Israel untuk menembak jatuh peluru berpandu.
“Secara ringkasnya, berdasarkan apa yang kita tahu ketika ini serangan nampaknya ditumpaskan dan tidak berkesan.
“Ini adalah hasil daripada profesionalisme tentera (Israel). Tetapi tidak kurang pentingnya adalah kecekapan tentera AS dan perancangan bersama yang teliti dalam meramalkan serangan terbabit,” katanya memetik laporan Al Jazeera semalam.
Ditanya pandangan Washington mengenai kemungkinan tindakan balas Israel, Sullivan berkata, perbincangan sedang berlangsung antara pemimpin tertinggi tentera dan politik di pihak AS dan Israel.
Tambah beliau, pihaknya berbangga dengan tindakan yang diambil bersama Israel untuk melindungi dan mempertahankan wilayah rejim Zionis itu.
“Kami ingin mengadakan perbincangan mendalam dengan pihak Israel.
“Kami sudah menjelaskan bahawa akan ada akibat yang serius untuk serangan ini. Kami akan bekerjasama dengan Israel untuk memastikan perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Iran mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke atas kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis pada malam Selasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa