HAMILTON: Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Semenanjung Gaza.
Resolusi itu turut menggesa pencegahan kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Draf resolusi yang dikemukakan oleh sembilan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan itu — Algeria, Ecuador, Guyana, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia, dan Switzerland — menerima 14 undi.
Resolusi itu menyeru “gencatan senjata segera, tanpa syarat, dan kekal yang perlu dihormati oleh semua pihak,” sambil mengulangi “desakan untuk pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan,” serta menggesa Majlis Keselamatan melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Ia turut menekankan krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza dan meminta “akses segera oleh penduduk awam di Semenanjung Gaza kepada perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang penting untuk kelangsungan hidup mereka.”
Draf Resolusi itu menolak “sebarang usaha untuk menyebabkan penduduk Palestin kebuluran” serta menyeru “penyediaan bantuan kemanusiaan sepenuhnya, dengan cepat, selamat, dan tanpa halangan, secara besar-besaran ke Gaza dan di seluruh kawasan itu.”
Selain itu, ia menggesa semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya berkaitan perlindungan orang awam dan infrastruktur awam, serta menuntut pelaksanaan Resolusi 2735 Majlis Keselamatan, yang merangkumi peruntukan mengenai tawanan, tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Resolusi itu juga meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres melaporkan pelaksanaannya dan menjalankan penilaian keperluan menyeluruh untuk Gaza dalam tempoh 90 hari.
Bagaimanapun, veto AS menghalang pelaksanaan langkah-langkah berkenaan.
Menjelang veto yang dijangka dilakukan AS, Anadolu melaporkan Carolyn Rodrigues-Birkett, wakil Guyana ke PBB, berkata bahawa “resolusi yang dibentangkan di hadapan Majlis adalah hasil rundingan beberapa minggu antara semua anggota Majlis.”
“Ia didorong oleh keprihatinan mendalam Majlis terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat di Gaza, termasuk apa yang berlaku di Utara Gaza, dan keperluan untuk tindak balas segera terhadap situasi itu,” katanya.
Timbalan Wakil AS ke PBB, Robert Wood, selepas pengundian berkata, “Kami telah menjelaskan sepanjang rundingan bahawa kami tidak boleh menyokong gencatan senjata tanpa syarat yang gagal memastikan pembebasan tawanan,” sambil menambah bahawa “penghentian perang secara berkekalan mesti disertai dengan pembebasan tawanan.”
“Secara ringkasnya, resolusi ini akan menghantar mesej berbahaya kepada Hamas. Tiada keperluan untuk kembali ke meja rundingan,” katanya, sambil mendakwa kumpulan pejuang Palestin itu menolak perjanjian gencatan senjata.
AS sebelum ini telah tiga kali menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza pada Oktober 2023, Disember 2023, dan Februari, selain berkecuali dalam beberapa undian resolusi lain. – BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.