
PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif ke atas tiga rakan dagangan terbesarnya iaitu Kanada, Mexico dan China, atas alasan negara berkenaan gagal mengekang ancaman luar biasa isu imigresen dan dadah.
Selepas ini, eksport dari Kanada dan Mexico ke AS akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus, walaupun sumber tenaga dari Kanada akan dikenakan levi lebih rendah iaitu 10 peratus. Duti ke atas Kanada berkuatkuasa Selasa ini.
Menurut White House, barangan dari China yang sudah dikenakan pelbagai kadar duti akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus.
Trump mengisytiharkan darurat kebangsaan selepas menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa dalam mengenakan tarif itu.
Tindakan itu terpaksa dibuat selepas Rumah Putih mendapati wujud ancaman luar biasa oleh warga asing haram dan dadah, termasuk kemasukan dadah opioid sintetik fentanyl yang memudaratkan ke AS.
“Tujuannya adalah untuk memastikan ketiga-tiga negara bertanggungjawab terhadap janji mereka untuk menghentikan kegiatan imigresen haram dan menghentikan (penyeludupan) fentanyl beracun dan dadah lain daripada masuk ke negara kita,” tegas Rumah Putih.
Washington turut mendakwa kerajaan Mexico memiliki ‘hubungan’ menerusi perikatan yang tidak boleh diterima dengan kumpulan pengedar dadah.
Pengumuman itu sekali gus mengancam pergolakan di seluruh rantaian bekalan daripada tenaga sehingga kereta dan makanan.
Ia adalah ‘isyarat’ serangan pertama dalam siri konflik perdagangan selanjutnya.
Pada minggu ini juga, Trump memberi bayangan akan mengenakan duti ke atas Kesatuan Eropah (EU).
Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengenakan tarif terhadap semikonduktor, keluli, aluminium serta minyak dan gas.
Trump yang berada di Florida pada hujung minggu memuatnaik hantaran di media sosialnya dengan mengatakan, tindakan itu adalah khusus bagi melindungi rakyat AS.
“Kita perlu melindungi rakyat Amerika (AS). Tugas saya sebagai presiden ialah untuk memastikan keselamatan semua,” katanya.
Kanada dan Mexico adalah pembekal utama produk pertanian AS dengan jumlah import mencecah puluhan bilion dolar setiap tahun dari kedua-dua negara.
Tarif yang dikenakan juga dijangka memberi kesan besar kepada industri automotif, memandangkan sekitar 70 peratus kenderaan ringan yang dihasilkan di Kanada dan Mexico dihantar ke AS.
Susulan pengeluar kereta dan pembekal turut menghasilkan komponen di seluruh rantau itu, tarif dijangka meningkatkan kos bagi kenderaan yang dibuat di AS.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, pada Jumaat berkata, Ottawa bersedia dengan tindak balas yang ‘khusus dan tegas’.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, pula berkata pada Sabtu bahawa beliau tenang kerana yakin ‘ekonomi Mexico sangat kukuh’.
Sheinbaum turut bertemu dengan wakil perniagaan Mexico, manakala menteri ekonominya, Marcelo Ebrard, menyatakan sektor swasta bersatu padu menghadapi kemungkinan tindakan komersial yang dilakukan ‘sewenang-wenangnya’
Namun, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, sebelum ini menolak kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang perdagangan. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.