SYDNEY: Australia merancang untuk memperkenalkan undang-undang tahun ini yang akan melarang kanak-kanak daripada menggunakan platform media sosial, berikutan risiko terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka.
Perdana Menteri, Anthony Albanese mengumumkan bahawa kerajaan akan memulakan percubaan pengesahan umur dalam beberapa bulan akan datang.
“Saya mahu melihat kanak-kanak melepaskan peranti mereka dan beraktiviti di padang bola sepak, kolam renang, dan gelanggang tenis. Kami ingin mereka mengalami interaksi sebenar dengan orang sebenar kerana kami tahu bahawa media sosial boleh menyebabkan kemudaratan sosial,” kata Albanese kepada stesen penyiar ABC News.
Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan had umur spesifik untuk larangan itu, tetapi menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan julat umur antara 14 hingga 16 tahun.
Albanese juga menyuarakan kebimbangannya tentang kesan buli siber terhadap kesihatan mental kanak-kanak serta pendedahan mudah kepada kandungan yang boleh membahayakan mereka di media sosial.
Langkah ini diambil selepas pengawal selia eSafety Australia, pada bulan Julai, meminta syarikat internet untuk menyediakan kod penguatkuasaan yang jelas tentang bagaimana mereka akan menghalang kanak-kanak daripada melihat pornografi dan bahan tidak sesuai, atau menghadapi kemungkinan kod yang dikenakan ke atas industri.
Sebelum ini, beberapa negara telah cuba menghadkan penggunaan media sosial oleh golongan bawah umur, tetapi cabaran undang-undang dan teknologi, seperti rangkaian peribadi maya yang menyembunyikan lokasi, telah menyukarkan usaha tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.