comscore
Tumpuan :
Dunia

‘Baek Hyun Woo’ paling mahal di Korea Selatan

Foto: Kim Soo Hyun / Instagram

KUALA LUMPUR: Bakat besar aktor kacak dari Korea Selatan, Kim Soo Hyun terus mencipta pelbagai kejayaan ekoran gaya lakonan bersahajanya yang mampu menghadirkan kepuasan penonton.

Secara tidak langsung Soo Hyun, 36, menjadi antara pelakon yang sering mendapat perhatian pelbagai syarikat produksi sehingga dilaporkan menerima jumlah bayaran tertinggi dalam kalangan pelakon di negara berkenaan.

Pelakon yang memulakan kerjaya lakonan pada 2008 ini, baru sahaja mencetuskan satu fenomena apabila drama lakonannya berjudul Queen Of Tears menjadi naskhah K-Drama yang menelan bajet tinggi iaitu 40 bilion Won (RM141 juta).

Malah bayaran yang diterima Soo Hyun sebanyak 800 juta Won (RM2.8 juta) untuk satu episod iaitu lebih tinggi berbanding bayaran diterima menerusi drama One Ordinary Day, turut didedahkan.

Menerusi drama One Ordinary Day yang disiarkan pada 2021, media melaporkan, Soo Hyun menerima bayaran 500 juta Won (RM1.7 juta) setiap episod.

Bayaran Soo Hyun dikatakan meningkat 60 peratus selepas tiga tahun, sekali gus menjadikan dirinya sebagai artis terima bayaran termahal yang pernah dikeluarkan syarikat produksi untuk aktor Korea Selatan.

Bagaimanapun, agensi pelakon terbabit enggan membuat sebarang kenyataan berhubung butiran kontrak dengan produksi.

Selepas kecoh bayaran diterima Soo Hyun, syarikat produksi drama Queen Of Tears iaitu Studio Dragon menafikan aktor yang menggalas watak Baek Hyun Woo itu menerima bayaran RM2.8 juta untuk setiap episod dijayakannya.

Studio Dragon dilaporkan memberitahu, kenyataan yang mendedahkan mengenai gaji atau bayaran diberikan kepada Soo Hyun untuk setiap episod dijayakan tidak berasas.

“Laporan bahawa Soo Hyun menerima 800 juta Won (RM2.8 juta) setiap episod sama sekali tidak benar. Jauh sekali,” jelas Studio Dragon seperti dilaporkan Money Today.

Sekiranya laporan bayaran diterima So Hyun benar, maka Studio Dragon membelanjakan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pembikinan drama bagi mendapatkan Soo Hyun bagi peranannya dalam 16 episod.

Sebelum itu, sejak menjalani khidmat ketenteraan pada Oktober 2017, populariti Soo Hyun terus memuncak.

Nama Soo Hyun melonjak selepas membintangi drama My Love From The Star (2014) bersama Jun Ji Hyun, sekali gus meyakinkan produksi membuat bayaran mahal dalam membintangi projek berskala besar.

Soo Hyun menemukan minat dalam bidang lakonan selepas didorong oleh ibunya dan mengambil keputusan melanjutkan pendidikan dalam jurusan Filem dan Teater di Universiti Chung-Ang. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini