comscore
Tumpuan :
Dunia

Bahan toksik dikesan pada aksesori kanak-kanak dijual di AliExpress, Shein

SEOUL: Syarikat gergasi e-dagang China, AliExpress dan Shein, didapati menjual aksesori kanak-kanak yang tercemar dengan tahap logam toksik yang tinggi, melebihi paras dibenarkan, menurut Kerajaan Metropolitan Seoul, baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan menerusi ujian keselamatan kimia yang dijalankan Korea Conformity Laboratories ke atas tujuh produk kanak-kanak yang dijual di AliExpress dan Shein.

Dua aksesori iaitu jam tangan kanak-kanak yang disenaraikan di Shein dan rantai leher kanak-kanak dari AliExpress didapati mengandungi bahan kimia berbahaya melebihi standard piawaian kebangsaan yang boleh diterima.

Dilaporkan, jam tangan itu mengandungi paras plumbum 278 kali melebihi had yang dibenarkan, manakala bahagian belakang jam tangan mempunyai paras kromium 3.4 kali dan paras nikel 4.4 kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

Loket rantai pula mengandungi paras plumbum 1.2 kali lebih tinggi daripada piawaian yang dibenarkan.

Tahap plumbum yang tinggi berpotensi mengganggu kesuburan dan meningkatkan risiko kanser manakala kromium dikaitkan dengan kesan toksik pada kulit dan kerengsaan pernafasan.

Nikel pula, antara isu kesihatan yang lain, dikaitkan dengan alahan dan penyakit kardiovaskular,

Kerajaan sedang menjalankan beberapa siri ujian keselamatan ke atas barangan yang dijual di platform e-dagang utama China AliExpress, Temu dan Shein, di mana pengguna domestik kerap membuat pembelian apabila membeli-belah merentas sempadan meningkat, menurut pegawai di Seoul.

Keputusan daripada pemeriksaan terbarunya akan disampaikan kepada platform berkenaan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Seoul menyasarkan untuk menyelesaikan ujian tambahan pada barangan kulit kanak-kanak, seperti kasut dan beg, menjelang akhir Mei.

Ia akan memasukkan pelbagai produk seperti bekas makanan dan produk kebersihan dalam senarai ujiannya pada Jun, menurut pegawai di Seoul. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini