
TRIPOLI: Lebih 38,640 orang kehilangan tempat tinggal di kawasan paling terjejas di timur laut Libya selepas banjir besar yang dicetuskan oleh ribut Mediterranean Daniel melanda wilayah itu.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) satu kenyataan berkata, sejumlah 2,217 bangunan musnah di Derna iaitu bandar pelabuhan paling teruk dilanda banjir di Libya dalam tempoh beberapa dekad.
Jumaat lalu, Agensi Pelaksana Projek Perumahan dan Utiliti Libya mendedahkan banjir itu merosakkan kira-kira 5,000 rumah dan rangkaian bekalan air, menyebabkan orang ramai di kawasan terjejas mengalami kekurangan air minuman yang serius.
Artikel berkaitan: Empangan Derna tidak diselenggara dengan baik antara punca tragedi banjir buruk Libya
Statistik rasmi menunjukkan, banjir setakat ini sudah meragut sekurang-kurangnya 5,500 nyawa dan menyebabkan 10,000 lagi mangsa hilang.
Perkhidmatan keselamatan pada Jumaat lalu meneruskan pengebumian beramai-ramai membabitkan mayat yang ditemui di Derna dan pendakwa raya bandar itu sedang mengawasi pengumpulan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada mangsa supaya boleh dikenal pasti oleh saudara mereka, menurut sumber tempatan memberitahu Xinhua.
Seorang pekerja bantuan kemanusiaan Sepanyol, Steel Cavillo, melahirkan rasa ngeri dengan tahap kemusnahan di Derna dan berkata, harapan untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat semakin tipis.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan, Haider al-Sayeh, menggesa pemindahan segera kawasan yang terjejas akibat banjir berikutan mayat di kawasan itu mulai reput.
“Sebanyak 55 kes pencemaran air dilaporkan di Derna selepas air minuman bercampur dengan air kumbahan,” katanya.
Penduduk Derna, Osama Mohamed berkata, 40 peratus daripada bandar itu tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Telekomunikasi lemah, tiada air minuman dan hanya dua kedai roti di bandar yang berfungsi.
“Penjana kuasa memerlukan bahan api dan sukar untuk mendapatkan ubat untuk penghidap penyakit kronik,” kata sukarelawan Libya, Sulaiman al-Mabruk. – AGENSI
Artikel berkaitan: Solat hajat mohon kesejahteraan buat rakyat di Maghribi, Libya dan Sudan