DAKAR: Banjir di sepanjang Sungai Senegal menjejaskan 774 isi rumah dan hampir 55,600 orang, menurut kenyataan kerajaan Senegal pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Banjir menenggelamkan 1,002 hektar tanah ladang, dengan tanaman utama seperti cili (49.19 peratus), padi (21.59 peratus) dan jagung (10.56 peratus) rosak teruk.
Presiden Senegal Bassirou Diomaye Faye, yang melawat wilayah tenggara Kedougou sejak Jumaat, membuat pemantauan udara ke atas kawasan yang terjejas dan melawat Bakel di timur negara itu untuk menyatakan solidariti kepada komuniti yang terjejas.
Sebagai respons, Faye memperuntukkan 8 bilion franc CFA (kira-kira US$13.3 juta) untuk usaha bantuan awal, kata presiden pada Jumaat.
Selain itu, kerajaan memulakan langkah jangka panjang untuk mencegah banjir pada masa hadapan, termasuk membina infrastruktur yang berdaya tahan seperti tebing, menaik taraf jalan raya, membaiki jambatan dan infrastruktur kritikal lain, tambahnya. – BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.