comscore
Tumpuan :
Dunia

Bapa pemain bola sepak Liverpool yang diculik gerila ELN, akan dibebaskan

Orang ramai menyertai demonstrasi susulan penculikan ibu bapa Luis Diaz di Barrancas, La Guajira. Pencarian besar-besaran sedang dijalankan terhadap bapa Diaz, yang diculik pada 28 Oktober lalu. – FOTO: Reuters

BOGOTA: Gerila daripada pemberontak National Liberation Army (ELN) Colombia yang bertanggungjawab menculik ibu bapa pemain bola sepak Liverpool, Luis Diaz hujung minggu lalu, dilaporkan akan membebaskan bapanya dalam kadar segera.

Pengesahan itu dibuat wakil ELN, Juan Carlos Cuellar menerusi klip video yang dikongsikan kepada Reuters, dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Ibu Diaz, Cilenis Marulanda dan bapanya Luis Manuel Diaz diculik oleh lelaki bersenjata ketika mereka memandu di wilayah utara La Guajira, lapor pegawai Sabtu lalu.

Ketika Marulanda berjaya dibebaskan beberapa jam kemudian, bapa pemain bola sepak itu masih hilang.

Insiden itu dikhuatiri akan menjejaskan rundingan damai antara ELN dan kerajaan, yang digerakkan semula tahun lalu dengan harapan mampu menamatkan pembabitan kumpulan itu dalam konflik selama 60 tahun, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 450,000 orang.

Kerajaan Colombia dan ELN memulakan gencatan senjata selama enam bulan pada Ogos lalu sebagai sebahagian daripada rundingan itu.

Menteri Dalam Negeri Colombia, Luis Fernando Velasco berkata keadaan itu “amat serius.”

“Ini adalah satu pelanggaran gencatan senjata dan sudah tentu ia menjejaskan proses rundingan itu,” kata Velasco kepada wartawan.

“Kami mengingatkan ELN penculikan adalah jenayah, melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tugasnya dalam membina proses damai bukan hanya untuk menghentikan (penculikan) tetapi untuk menghapuskannya selama-lamanya,” kata Otty Patino, ketua delegasi keamanan kerajaan dalam kenyataan itu dan menambah bapa Diaz perlu dibebaskan serta-merta.

ELN, kumpulan gerila kiri paling radikal di Colombia, sudah lama membiayai operasinya dengan penculikan, serta pemerasan dan pengedaran dadah, menurut sumber keselamatan. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini