Tumpuan :
Dunia

Bas terjunam di Colombia, 13 maut, 28 cedera

NARINO: 13 orang dilaporkan maut manakala 28 lagi cedera selepas sebuah bas terjunam ke dalam cerun di lebuh raya di barat daya Colombia pada pagi Jumaa, menurut pihak berkuasa.

Kemalangan berlaku di lebuh raya Pan-American berhampiran kawasan El Placer di bandar Tangua, wilayah Narino, kira-kira 570 kilometer dari ibu negara, Bogota.

Menurut Pengarah Logistik dan Kewangan Polis Negara, Olga Patricia Salazar, bas berkenaan bertolak dari bandar Cali pada jam 8 malam, membawa sekumpulan pelancong menuju ke Sanctuary of Our Lady of the Rosary of Las Lajas, sebuah destinasi gereja popular berhampiran sempadan Ecuador.

“Bas itu terlibat dalam kemalangan sekitar jam 7 pagi tadi. Terdapat 42 penumpang dalam bas. Malangnya, 13 orang meninggal dunia, sementara selebihnya telah dipindahkan ke beberapa hospital,” katanya.

Video yang tular dari lokasi menunjukkan pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat, termasuk memindahkan mangsa dan menyiasat serpihan bas yang musnah.

Statistik Kementerian Pengangkutan Colombia menunjukkan kira-kira 8,000 orang maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya di negara itu.

Punca kemalangan masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini