Tumpuan :
Dunia

Bashar al-Assad umum letak jawatan, tinggalkan Syria – Rusia

FOTO: REUTERS

ISTANBUL: Bashar al-Assad, pemimpin Baath Syria yang diguling memutuskan untuk meletak jawatan dan meninggalkan negara itu, lapor Anadolu Agency (AA) memetik kenyataan Kementerian Luar Rusia pada Ahad.

Dalam kenyataan itu, kementerian itu menyatakan kebimbangan terhadap situasi di Syria dan memaklumkan keputusan Assad dibuat susulan rundingan antara rejimnya dan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik bersenjata.

Assad juga dilaporkan telah mengarahkan pelan peralihan kuasa secara aman.

Kementerian itu menyeru semua pihak agar menghentikan keganasan dan menyelesaikan konflik melalui jalan politik.

Rusia turut menegaskan pihaknya sedang berunding dengan semua kumpulan pembangkang di Syria, menyeru agar pandangan semua kumpulan etnik dan agama dihormati serta menyokong usaha mewujudkan proses politik yang inklusif di bawah Resolusi 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kementerian, pangkalan tentera Rusia di Syria kini berada dalam “tahap berjaga-jaga yang tinggi,” namun tiada ancaman serius terhadap keselamatannya.

Segala langkah yang perlu sedang diambil untuk memastikan keselamatan rakyat Rusia di negara itu.

Selepas tempoh tenang yang relatif, pertempuran tercetus pada 27 November antara pasukan Assad dan kumpulan bersenjata anti-rejim di kawasan luar bandar barat Aleppo, sebuah bandar utama di utara Syria.

Pada 30 November, kumpulan anti-rejim menguasai sebahagian besar pusat bandar Aleppo daripada pasukan Assad dan pada hari yang sama, mereka berjaya menguasai keseluruhan Wilayah Idlib.

Khamis lepas, kumpulan itu merampas pusat bandar Hama selepas pertempuran sengit.

Kumpulan anti-rejim juga berjaya menguasai beberapa kawasan penempatan Di Wilayah Homs, kawasan strategik yang menjadi laluan ke ibu negara Damsyik dan mula mara ke arah ibu kota.

Jumaat lepas, kumpulan pembangkang bersenjata melancarkan operasi di Wilayah Daraa, berhampiran sempadan Syria-Jordan dan berjaya merampas kembali pusat bandar daripada pasukan Assad selepas pertempuran.

Sabtu lepas, seluruh Wilayah Suwayda di selatan Syria turut jatuh ke tangan kumpulan pembangkang.

Pada hari yang sama, kumpulan pembangkang tempatan di Quneitra turut menguasai pusat wilayah berkenaan.

Di Wilayah Homs, pasukan anti-rejim pada Sabtu berjaya menguasai pusat wilayah itu, manakala kumpulan yang mara ke arah pasukan Assad memasuki kawasan pinggir bandar selatan Damsyik.

Pasukan Assad juga dilaporkan berundur daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri serta lapangan terbang antarabangsa di Damsyik.

Dengan kumpulan bersenjata anti-rejim mula menguasai ibu kota, pasukan Assad kehilangan kawalan sepenuhnya ke atas Damsyik pada pagi Ahad.-BERNAMA-AA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini