comscore
Tumpuan :
Dunia

Bayi kembar siam Akhizah dan Ayeesha, tiba di Riyadh

RIYADH: Bayi kembar siam berusia 16 bulan dari Filipina, Akhizah dan Ayeesha Yusoph tiba di Riyadh, semalam.

Pasangan bayi perempuan ini dijadualkan menjalani pembedahan pemisahan menerusi program dilaksanakan Arab Saudi yang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan.

Memetik laporan Arab News, Akhizah dan Ayeesha Yusoph dilahirkan di Panabo City di wilayah Davao del Norte di pulau selatan Mindanao pada Disember 2022.

Pasangan bayi perempuan yang berkongsi hati itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid terus dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Khusus Raja Abdullah proses penilaian sebelum pembedahan pemisahan dilakukan.

Penyelia Saudi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan King Salman (KSrelief), Abdullah Al-Rabeeah, mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Arab Saudi atas sokongan mereka terhadap Program Kembar Siam Arab Saudi.

Program yang diterajui oleh Al-Rabeeah itu sudah melakukan pembedahan terhadap lebih 130 kanak-kanak dari 25 negara sejak 1990.

Katanya, program itu amat signifikan dan menandakan peristiwa penting dalam bidang perubatan, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030 untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, ibu bapa Akhizah dan Ayeesha menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas sambutan dan layanan mesra yang diberikan sebaik tiba di Arab Saudi.

Ibu pasangan bayi berkenaan, Hashima Yusoph berkata, dia mengetahui bayinya kembar siam ketika kandungan berusia tujuh bulan.

“Ketika itu, saya melakukan ultra sound (imbasan bunyi) dan sangat terkejut apabila dimaklumkan bayi saya kembar siam.

“Ketika itu saya hanya fikir macam mana saya boleh menjaga mereka, adakah saya boleh menjadi ibu terbaik untuk mereka,” katanya kepada Arab News.

Dia kemudian berusaha mencari jalan untuk memastikan kedua-dua bayinya menjalani kehidupan seperti biasa.

Hashima bernasib baik apabila dipertemukan dengan KSrelief ketika bayinya berusia lima bulan. – Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini