Tumpuan :
Dunia

Beit Hanoun kembali tenang selepas gencatan senjata dikuatkuasa

Beit Hanoun, utara Gaza. – Foto: Reuters

GAZA: Kawasan Beit Hanoun di utara Gaza yang bersempadan dengan Israel kini menikmati ketenangan luar biasa selepas gencatan senjata dikuatkuasakan pada Ahad. Kawasan yang sebelum ini menjadi sasaran serangan udara dan artileri setiap hari itu kini tidak lagi bergolak.

Menurut Reuters, tiada bunyi tembakan atau letupan didengari sejak gencatan senjata mula dilaksanakan.

Perjanjian gencatan senjata itu tercapai selepas hampir setahun dirancang oleh perantara Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat (AS).

Fasa pertama perjanjian itu dijadualkan berlangsung selama enam minggu. Dalam tempoh itu, 33 daripada 98 tebusan Israel yang masih ditahan akan dibebaskan sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 tahanan dan banduan Palestin.

Bagaimanapun, gencatan senjata tertangguh selama tiga jam apabila Hamas gagal menyerahkan senarai tiga tebusan pertama yang akan dibebaskan pada hari berkenaan.

Hamas menyatakan kelewatan tersebut berpunca daripada isu teknikal dan kemudian menyerahkan senarai berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada fasa pertama, tiga wanita Israel yang ditahan di Gaza dibebaskan pada Ahad dan dihantar ke Pusat Perubatan Sheba di luar Tel Aviv.

Namun, sebelum gencatan senjata bermula, serangan udara dan artileri Israel masih berterusan. Tentera Israel mendakwa serangan tersebut menyasarkan kumpulan Hamas, manakala pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 14 orang maut dan 25 cedera dalam serangan itu.

Sementara itu, Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, bersama kumpulan-kumpulan perlawanan Palestin yang lain, telah mengesahkan komitmen mereka untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata itu.

Sejak Oktober 2023, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza melaporkan jumlah korban akibat serangan udara Israel telah mencecah 46,913 orang, manakala lebih 110,750 individu dilaporkan cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini