BUENOS AIRES: Bekas anggota kumpulan One Direction, Liam Payne dilaporkan meninggal dunia di luar sebuah hotel di sini, hari ini.
Tidak lama selepas berita kematiannya tersebar, kumpulan peminat berkumpul di lokasi kejadian, ketika pasukan perubatan masih berusaha menyelamatkan Payne, lapor agensi.
Jurucakap polis Buenos Aires dilapor mengesahkan berita kematian Payne.
“Liam James Payne, komposer dan gitaris, juga bekas anggota kumpulan One Direction, meninggal dunia hari ini, selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan SAME, Alberto Crescenti memberitahu sebuah stesen televisyen (TV) tempatan Payne mengalami kecederaan serius dengan tiada kemungkinan prosedur kecemasan dapat dilakukan terhadap mendiang.
Crescenti berkata, petugas kecemasan bergegas ke lokasi kejadian di Palermo, sebaik mendapat panggilan telefon pada jam 5.04 petang, waktu tempatan.
“Pasukan petugas tiba tujuh minit kemudian dan mengesahkan kematian Payne yang kemudian dikenal pasti sebagai seorang penyanyi,” katanya.
Payne dilapor mengalami keretakan pada bahagian tengkorak akibat terjatuh dari tingkat tiga hotel berkenaan, pada ketinggian yang dianggar antara 13 meter hingga 14 meter.
Kumpulan One Direction mula mencipta nama pada 2010 apabila sekumpulan remaja iaitu Payne, Niall Horan, Harry Styles, Louis Tomlinson dan Zayn Malik muncul dalam program realiti British, The X Factor.
Pada 2016, anggota One Direction mengumumkan masing-masing mahu meneruskan karier secara individu, namun, tidak berpecah.
Pada tahun sama, mendiang Payne menerbitkan album solo, mengikut jejak anggota band lain.
Pada 2 Oktober lalu, Payne menghadiri konsert Horan di Buenos Aires, lapor majalah Billboard.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.