Tumpuan :
Dunia

Bekas jutawan hartanah cuba nasib jadi PM Thailand

BANGKOK: Bekas jutawan hartanah mencuba nasib untuk menjadi Perdana Menteri Thailand.

Srettha Thavisin pendatang baharu dalam arena politik, mendapat sokongan pakatan parti popular dan beberapa parti konservatif, ‘nasib’ Srettha juga bakal ‘ditentukan’ oleh senator yang dilantik oleh tentera.

Undian bagi menentukan siapa bakal perdana menteri baharu negara Gajah Putih itu dijangka berlangsung esok, sekali gus memuktamadkan ketidaktentuan politik yang membelenggu negara itu selama berbulan lamanya.

Seramai 250 senator akan mengundi bersama 500 ahli Parlimen bagi menentukan siapa bakal perdana menteri baharu.

Kehadiran Srettha dalam perebutan jawatan perdana menteri menyusul selepas Pita Limjaroenrat dari Parti Move Forward (MFP) yang menang undi paling popular pada pilihan raya umum (PRU) 14 Mei lalu, disekat oleh Senator bulan lalu.

Seandainya berjaya, Srettha, 60, akan membentuk sebuah kerajaan selepas berbulan-bulan ketidaktentuan politik membelenggu negara Asia Tenggara itu.

Cabaran yang menanti perdana menteri Thailand ke-30 termasuk masyarakat dirundung isu polarisasi akibat kegawatan pasca pilihan raya, terkesan dengan pemulihan ekonomi yang rapuh dan hutang isi rumah besar selama hampir sedekad di bawah pemerintahan yang disokong tentera.

Srettha adalah calon perdana menteri sebuah gabungan yang diketuai oleh Pheu Thai, parti dikaitkan dengan Thaksin Shinawatra iaitu bekas perdana menteri yang pernah digulingkan suatu ketika dulu.

Beliau juga veteran tiga dekad dalam industri hartanah dan memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Claremont Graduate School di Amerika Syarikat (AS).

Beliau menyertai parti Pheu Thai tahun ini sebagai ketua penasihat kepada anak perempuan Thaksin, Paetongtarn Shinawatra.

Pheu Thai menyokong Pita tetapi janji MFP untuk meminda undang-undang menghina Raja dan agenda reformis lain menemui jalan buntu bagi ahli politik muda itu, dalam meraih sokongan daripada Senator yang pro Raja atau parti konservatif.

Walaupun pakatan Pheu Thai kini disokong oleh 274 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Srettha masih memerlukan majoriti mudah daripada 750 ahli untuk menjadi perdana menteri.

Sekiranya Srettha gagal meraih undi mencukupi, Pheu Thai boleh mencalonkan salah seorang daripada dua calonnya yang lain iaitu Paetongtarn atau Chaikasem.

Antara alternatif lain, sekiranya masih buntu, Pheu Thai perlu menyerahkan kepimpinan gabungan kepada Ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, yang berada di tempat ketiga pada PRU lalu dengan 71 kerusi Parlimen.

Seorang lagi calon berpotensi ialah bekas ketua tentera merangkap pemimpin Palang Pracharath, Prawit Wongsuwan, yang menyokong Perdana Menteri, Prayuth Chan-O-Cha pada PRU 2019.

Prawit dikatakan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan senator kerana beliau memainkan peranan penting berhubung pelantikan mereka.–AGENSI

Loading...
Terkini